Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Untuk paparan imej yang terbaik, sila pastikan resolusi monitor anda adalah pada 1280 x 800 dengan menggunakan Internet Explorer versi 7 dan ke atas, ataupun Google Chrome. Walaubagaimanapun warna, kecerahan dan ketajaman imej yang dilihat akan berbeza- beza mengikut kualiti dan setting monitor anda. Terima Kasih.

Sunday, June 27, 2010

Salam Kembali

Assalamualaikum dan selamat bertemu kembali. Agak lama juga blog ni tak diupdate dengan artikel- artikel yang terbaru. Sebab musababnya ialah kerana semenjak berpindah dari Petaling Jaya ke Perlis, akaun streamyx terpaksa di 'terminate' buat seketika kerana nak kena pindah akaun ke Perlis pulak. Tapi disebabkan oleh beberapa hal, akaun streamyx ni baru je diaktifkan hari ni.

Baiklah, artikel terakhir yang saya sentuh adalah berkaitan Shutter Speed yang mana ia boleh dimanipulasikan untuk memenuhi beberapa keperluan keadaan yang tertentu. Artikel seterusnya InsyaAllah, saya akan menulis tentang saiz- saiz sensor bagi kamera DSLR yang umumnya terdapat dipasaran. Artikel ini akan saya terbitkan selepas ini.

Pada kali ini saya hanya akan mempamerkan projek terbaru yang masih panas lagi, yang baru selesai di edit, iaitu wedding photos. Sebarang komen amatlah di alu- alukan. Sekian, Wassalam.



















































Tuesday, December 8, 2009

Shutter Speed


Assalamualaikum. Shutter speed, topik yang akan dibincangkan pada kali ini adalah merupakan element yang amat penting yang boleh dikawal untuk mendapatkan imej landskap yang cantik di sesuatu kawasan yang kurang cahaya. Manfaatnya amat besar jika anda bercadang untuk mengambil imej objek yang statik/hampir statik pada waktu malam.

Kadang- kala kecantikan sesebuah tempat hanya akan terserlah pada waktu malam. Bangunan yang dilimpahi perlbagai warna cahaya lampu, dan hiasan- hiasan neon yang unik pastinya akan membuatkan anda tidak sabar untuk mula mengambil gambar. Anda boleh menggunakan flash jika imej yang anda ingin ambil berada dalam julat flash anda, tetapi original mood nya pasti akan hilang kerana warna asalnya telah terganggu oleh cahaya flash. Jika imej yang anda ingin ambil adalah jauh dan luas, yang tidak termasuk dalam julat flash anda, maka sudah tentu flash anda tidak mampu untuk menerangi seluruh kawasan tersebut.

Pada waktu beginilah kawalan ke atas shutter speed akan menjadi satu pilihan yang terbaik. Apa yang anda perlu lakukan adalah menetapkan ISO terlebih dahulu ( ingat, makin rendah nilai ISO, makin rendah noise/grain ). Kemudian setkan aperture ( ingat, untuk mengambil imej landskap, semakin besar nilai f-stop, kesan depth of field akan menjadi semakin besar ). Selepas itu, setkan shutter speed anda sehingga metering anda menjadi balance. Ambillah gambar anda dan lihatlah hasilnya. Pasti menakjubkan! Tetapi anda pastinya akan memerlukan sebuah kamera DSLR untuk mendapat akeses keatas semua kawalan ini. Dibawah adalah gambar masjid putrajaya yang diambil pada waktu malam. Sila klik pada imej untuk melihat gambar yang sama pada saiz yang lebih besar.


Gambar ini diambil pada ISO 200, Aperture 13 dan Shutter Speed 30 saat

Apa yang dimaksudkan sebagai shutter speed 30 saat adalah sensor kamera anda akan didedahkan kepada cahaya selama 30 saat. Shutter yang ada dihadapan sensor akan terbuka selama tempoh waktu tersebut untuk membenarkan cahaya masuk. Cahaya yang sedikt ini akan terkumpul sehingga membentuk kuantiti cahaya yang mencukupi untuk menghasilkan gambar yang dikehendaki. Walaubagaimanapun, anda memerlukan peralatan tambahan untuk tujuan ini, iaitu sebuah tripod, kerana pastinya tiada seorang pun yang mampu memegang kamera dengan tangannya tanpa goyang selama 30 saat!


Saturday, December 5, 2009

Upgrade Kepada 7D


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Alhamdulillah, setelah hampir sebulan berfikir, berfikir dan berfikir, akhirnya pada tanggal 26 November 2009, saya telah memilih untuk upgrade kamera saya daripada model 400D kepada 7D.

Pada mulanya saya berhasrat untuk membeli 5D second hand daripada seseorang dari Johor. Tetapi beberapa hari sebelum berjumpa dengannya, saya telah berpeluang untuk mencuba sendiri model 7D daripada supplier canon yang datang ke Jabatan Kimia. Saya telah dijemput oleh Iskandar untuk sama- sama menilai kamera yang sesuai untuk dibeli oleh Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia.

Memang saya telah banyak study berkenaan model ini, cuma saya belum berpeluang untuk menyentuh dan mengujinya sendiri. Kesempatan yang terhidang telah saya gunakan sepenuhnya. Setelah memegang dan mencuba sendiri model 7D, saya terus terpikat. Keputusan saya tiba- tiba menjadi muktamad. Tidak syak lagi, inilah model yang akan saya beli.

Model 7D adalah model yang terlaris dipasaran pada waktu ini. Banyak ciri yang telah ditingkatkan. Malah, ada beberapa ciri baru yang diperkenalkan, yang tiada pada model DSLR canon sebelum ini. Paling mencuri tumpuan adalah keupayaannya untuk merakam video dengan kualiti FULL HD dan pada 24fps. Tidak ketinggalan kepantasannya pemprosesnya yang dijana oleh double Digic 4 processor.


Di atas adalah gambar yang baru diambil 3 jam yang lepas dengan menggunakan canon 7D. Kamera ini mempunyai effective pixel sehingga 18 Megapixels. Gambar yang saya ambil ini boleh dicetak pada saiz yang besar tanpa perlu risau gambar tersebut akan 'pecah'.

Secara peribadinya saya amat berharap model ini juga dilengkapi dengan sensor bersaiz Full Frame, dan dijual pada harga yang sama. Crop sensor yang digunakan pada model ini adalah merupakan satu- satunya kelemahan utamanya. Walaubagaimanapun, daripada segi lain, secara perbandinganya, kamera ini adalah sebuah ciptaan yang terunggul.

Monday, November 30, 2009

ISO Setting


Assalamualaikum kepada semua pembaca. Pada kali ni saya akan tunaikan janji saya untuk menulis berkenaan ISO, atau International Organization for Standardization. Kita pasti biasa mendengar ISO yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran. Tetapi ISO pada kamera adalah satu istilah yang digunakan untuk menerangkan tentang sensititiviti sensor kamera terhadap cahaya. Semakin tinggi nilai ISO, semakin sensitif sesuatu sensor. Pada era kegemilangan kamera filem, ISO akan menentukan tahap sensitiviti filem terhadap cahaya. Filem ini biasanya kita sebut sebagai kodak, mungkin kerana kodak adalah jenama yang paling popular ketika itu. kodak juga mempunya ISO yang berbeza- beza. Kodak dengan ISO yang tinggi amat sesuai untuk digunakan jika ingin mengambil gambar dikawasan yang kurang cahaya.

Dalam dunia digital, ISO adalah dikaitkan dengan kawalan untuk meningkatkan tahap sensitiviti sensor. Skala ISO ini biasanya adalah seperti berikut iaitu 50, 100, 200, 400, 800, 1600, 3200, 6400 dan seterusnya. Semakin tinggi ISO setting, semakin sensitif sensor tersebut. Hal ini kerana semakin tinggi ISO, signal yang terhasil pada sensor akan semakin dikuatkan/amplified. Jika anda ingin mengambil imej ditempat yang kurang cahaya, sensitiviti sensor harus digandakan supaya ia dapat 'membaca' cahaya yang sedikit tersebut. Terdapat kamera yang mempunyai ISO sehingga 12 800 seperti yang terdapat pada model 5D Mark II.

Walaubagaimanapun, terdapat kesan negatif hasil daripada peningkatan ISO yang semakin tinggi. Apabila sensitiviti sensor ditingkatkan, ia bermaksud semakin banyak arus elektrik yang memasuki sensor. Akibatnya suhu pada sensor akan meningkat sekaligus menghasilkan apa yang dikenali sebagai noise. Noise adalah musuh kepada setiap jurugambar. Walaubagaimanapun kewujudannya tidak dapat dielak. Ia hanya dapat dikurangkan. Peningkatan dalam teknologi penghasilan sensor, rekabentuk litar, penghasilkan microlens yang lebih baik sememangnya telah membantu mengurangkan noise pada ISO yang tinggi.

Biasanya jurugambar akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan ISO yang rendah seperti pada ISO 400. Jika jurugambar ingin mengambil gambar di tempat yang kurang cahaya, mereka akan mengenakan cahaya tambahan terhadap subjek seperti penggunaan built in flash ataupun external flash. Kaedah ini dapat membantu jurugambar mendapatkan imej yang properly exposed, walaupun pada nilai ISO yang rendah. Kaedah yang lain adalah seperti penggunaan fast lens yang mempunyai aperture yang besar seperti 50mm f2.8 II. Jika anda ingin mengambil gambar objek yang tidak bergerak seperti pemandangan pada waktu senja, anda masih boleh mengambil gambar yang cantik walaupun pada ISO 200. Caranya ialah dengan memanjangkan tempoh dedahan sensor terhadap subjek dengan mengawal tempoh shutter speed. Saya akan menulis berkenaan shutter speed untuk artikel yang seterusnya.

Pemandangan pada waktu senja di Perlis. Tempoh dedahan bagi gambar ini adalah 2 saat pada ISO 100


Pentingnya mengekalkan ISO yang rendah adalah kerana imej yang terhasil adalah kurang noise dan tajam. Imej yang mempunyai noise yang tinggi akan mempunyai banyak
false color dan grain, sekaligus akan membuatkan imej yang terhasil kelihatan kurang menarik.

Saturday, October 31, 2009

Kursus Fotografi Bersama FBI

Baru- baru ini saya telah mengikuti satu kursus fotografi yang telah dianjurkan oleh Seksyen Kriminalistik Jabatan Kimia Malaysia. Kursus yang telah mendapat kerjasama daripada Federal Bureau of Investigation ( FBI ) Amerika Syarikat ini telah disampaikan oleh dua orang pakar daripada agensi tersebut iaitu Mr. Jeff dan Miss Claudine. Kursus yang mengambil masa selama dua minggu itu telah telah memperkenalkan kepada para peserta tentang teori dan kaedah fotografi yang melibatkan pengambilan imej bahan bukti samada di makmal mahupun di tempat kejadian.

Apa yang menarik tentang kursus ini ialah semua perlatan yang berkaitan dengan topik kursus telah dibawa secara terus oleh FBI. Kamera, tripod, lampu, sampel bahan bukti, nota, beberapa jenis lens, dan pelbagai jenis peralatan lain telah dipinjamkan kepada para peserta kursus bagi memudahkan sesi pembelajaran. Peratusan kelas teori dan amali yang seimbang telah menyebabkan proses memahami sesuatu teori menjadi lebih efektif. Setiap soalan yang ditanya kepada penceramah akan dijawab dengan teliti sehingga para peserta benar- benar memahaminya.


Mr. Jeff dan Miss Claudine


Badge yang dihadiahkan kepada setiap peserta setelah tamat kursus.


Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Puan Rusikah, Ketua Seksyen Kriminalistik yang telah memberi peluang kepada saya untuk menyertai kursus. Kursus ini benar- benar telah menambah pemahanan saya dalam bidang fotografi sekaligus melonjakkan lagi semangat saya untuk terus memperkukuhkan diri dalam bidang ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Mr. Jeff dan Miss Claudine kerana telah banyak mencurahkan ilmu dan pengalaman kepada saya dan para peserta yang lain. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan.


Aperture

Assalamualaikum. Pada kali ni saya akan berkongsi tentang salah satu element yang amat penting yang perlu dikuasai dan difahami jika ingin menghasilkan gambar yang menarik dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Ia adalah berkenaan Aperture. Secara ringkasnya aperture adalah bukaan yang terdapat di dalam sesebuah kanta kamera. Bukaan ini boleh dikawal saiznya. Saiz bukaan ini akan menentukan kuantiti cahaya yang masuk dan mengubah ketajaman imej yang terbentuk diatas sensor kamera. Bukaan aperture yang kecil akan menyebabkan jumlah cahaya yang masuk menjadi terhad. Akan tetapi imej yang terhasil adalah tajam kerana lebih banyak imej yang mempunyai jarak fokus yang sama tertumpu secara tepat diatas pemukaan sensor kamera. Sebaliknya bukaan aperture yang besar akan menyebabkan lebih banyak cahaya yang akan sampai ke permukaan sensor kamera. Disebabkan bukaan yang luas pada aperture, imej yang terhasil akan mempunyai banyak jarak fokus yang berbeza. Hanya imej yang mempunyai jarak fokus yang betul betul pada kedudukan sensor sahaja yang menjadi tajam. Imej yang berada pada jarak fokus yang lain akan menjadi kabur.


Aperture yang bagaimakah sesuai untuk tujuan fotografi? Jawapannya, kedua- keduanya adalah sesuai, bergantung kepada subjek. Bagi menjelaskan perkara ini, saya akan bergerak kepada terma yang seterusnya yang berkaitan dengan Aperture, iaitu Depth of Field. Depth of Field adalah kesan langsung hasil daripada pilihan kita samada untuk menggunakan aperture kecil atau besar. Depth of Field adalah julat ketajaman imej yang terhasil bermula daripada titik yang difokus oleh jurugambar melalui kamera. Julat ketajaman imej ini boleh berubah- ubah daripada julat yang besar kepada julat yang kecil. Aperture yang kecil akan menyebabkan julat Depth of Field menjadi besar, manakala aperture yang besar akan menyebabkan julat Depth of Field menjadi kecil.


Apakah kesan kepada kecil dan besarnya Depth of Field ini? Mungkin pembaca masih ingat kepada koleksi gambar orkid yang saya masukkan sebelum ini. Gambar tersebut diambil dengan menggunakan Aperture yang besar. Saya memfokuskan pada bahagian paling hadapan orkid. Hasilnya, imej pada hadapan orkid menjadi tajam, sebelum beransur- ansur kabur dibelakangnya. Teknik ini akan menyebabkan subjek menjadi menonjol dan mengaburkan imej lain dibelakangnya yang kurang penting. Jika saya diminta untuk mengambil gambar pemandangan lautan yang berlatar- belakangkan gunung ganang, apa yang akan saya lakukan ialah mengecilkan saiz aperture sehingga ke bukaan yang paling kecil agar saya akan mendapat Depth of Field yang maksima. Hasilnya, imej yang terhasil nanti adalah menampakkan imej yang jelas bermula dari imej lautan hinggalah kepada imej gunung ganang. Depth of Field yang maksima telah menghasilkan gambar pemandangan yang jelas secara menyeluruh.




Gambar di atas menunjukkan Aperture pada bukaan yang berbeza. Simbol bagi aperture adalah f. Perhatikan bahawa nilai f yang kecil memberikan bukaan yang besar, manakala nilai f yang besar memberika bukaan yang kecil.


Sekarang, pembaca telah diperkenalkan dengan dua terma iaitu Aperture dan Depth of Field. Sebarang pertanyaan lanjut boleh lah ditulis di dalam ruangan komen. Dalam artikel yang seterusnya saya akan memperkatakan tentang ISO, iatu elemen yang mengawal sensitiviti sensor sesuatu kamera. Sekian, wassalam. Jumpa lagi.

Thursday, October 29, 2009

Salam Pembuka Bicara


Sepertimana yang dijanjikan dalam blog ada-chemistry.blogspot.com sebelum ini, hari ini saya akan mula berkongsi gambar, berkongsi serba sedikit apa yang saya tahu berkenaan fotografi, dan berkongsi pengalaman kepada sesiapa yang ingin mengetahui. Pada mulanya saya terfikir akan betapa tak layaknya saya untuk membicarakan berkenaan fotografi memandangkan saya baru sebulan jagung dalam bidang ini. Tetapi pada masa yang sama saya juga merasakan ia bukanlah sesuatu yang salah. Lebih2 lagi sesiapa sahaja diberi ruang seluas- luasnya untuk menghantar komen, kritikan dan teguran jika saya tersalah. Apabila dilihat dari aspek ini, barulah saya merasakan tidak salah saya mulakan sekarang berbanding menunggu untuk expert dulu, kemudian baru hendak mulakan. Ya, itu lebih baik. Tiada apa pun yang rugi.

Sebagai pembuka episod kepada episod- episod yang seterusnya, saya ingin mempelawa para pembaca sekalian untuk 'menjamu mata' hasil tangan yang saya perolehi dari Taman Orkid di KL baru- baru ini. Sebarang komen amat- amatlah dihargai. Jika gambar- gambar ini menginspirasikan anda untuk meminati fotografi, Alhamdulillah. Tetapi jika ia membuatkan bola mata anda 'tidak selesa', sebarang kritikan daripada anda amat- amatlah diperlukan :-)














Untuk post yang seterusnya, InsyaAllah, saya bercadang untuk menulis berkenaan Aperture, salah satu element yang amat penting untuk diketahui dan difahami bagi 'menguasai' kamera anda.